Sunday, December 25, 2011

Tiga gol lagi





KEJAYAAN Robin van Persie meledakkan puluhan gol, membantu skuad Arsene Wenger mengembalikan reputasi mereka dari permulaan hambar hingga berjaya merebut tiket ke Liga Juara-Juara, malah membantu pemain Belanda itu menghampiri rekod jaringan Alan Shearer dalam tahun Liga Perdana Inggeris dengan 36 gol.
Jaringan Van Persie ketika Arsenal menewaskan Aston Villa 2-1 membolehkannya mengumpul 34 gol pada 2011 untuk menyamai rekod Thierry Henry pada 2004.

Dia memerlukan tiga gol lagi menerusi kunjungan Wolverhampton Wanderers pada 27 Disember dan Queens Park Rangers pada malam Tahun Baru untuk mengatasi rekod Shearer yang dicatat 16 tahun lalu.

Rekod Van Persie dilihat lebih menarik dengan purata satu gol setiap perlawanan manakala jumlah jaringan Shearer untuk Blackburn Rovers iaitu 42, manakala Henry 39 gol.


“Saya berusia 34 tahun sekarang, sama seperti Thierry,” kata Van Persie.

“Ia satu penghormatan kerana Thierry adalah pemain terbaik Arsenal jadi kejayaan mencapai rekod itu dalam tempoh setahun cukup istimewa. Saya tidak mahu mengalami nasib malang. Saya tahu mengenai rekod itu. Ia membuat saya bangga. Ini bukan sasaran utama saya tetapi sudah tentu saya gembira dengan perkara itu.”

Selepas menyertai Arsenal dari Feyenoord tujuh tahun lalu dengan bayaran 2.75 juta (RM13.6 juta), sumbangan Van Persie sejak musim 2004/05 boleh dianggap sederhana dengan lima, lima, 11, tujuh , 11 dan sembilan gol sebelum lebih serius dengan 18 gol pada kempen lalu, semuanya dicapai selepas 1 Januari 2011.

Begitupun dia masih mengumpul 16 gol musim ini sebelum tibanya tahun baru. Jika sebelum ini dia sering berada di bilik rawatan, Van Persie kini mencetus kebangkitan dengan prestasi meyakinkan.

“Saya tidak terlepas satu pun perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini,” katanya.

“Jadi jika anda mencapai prestasi hebat, rasa lebih cergas dan membolehkan anda mencuba sesuatu yang baru, anda mengambil lebih risiko berbanding jika anda baru pulih daripada kecederaan.

“Sebagai penyerang, adalah penting untuk mencuba kerana ada ketikanya anda merasakan lebih baik menolak bola masuk daripada merembatnya.

“Jika anda lihat kepada aksi saya, saya lebih banyak mengambil risiko sekarang kerana saya tahu jika pasukan menyokong saya, saya akan mempunyai lebih banyak peluang. Biasanya saya tidak menerima satu peluang, mungkin dua, tiga atau empat dalam sesuatu perlawanan.

“Ia menunjukkan saya sentiasa mengambil risiko di mana saja.”

Perpindahan musim panas di Emirates bermula dengan Gael Clichy menyertai Manchester City dan berterusan apabila Cesc Fabregas, orang kuat Wenger di padang, menyertai Barcelona manakala Samir Nasri mengikut jejak Clichy ke Stadium Etihad.

Kejutan akibat kehilangan ramai pemain bintang menjejaskan peluang Arsenal musim ini apabila mereka meninggalkan Old Trafford pada akhir Ogos dengan kekalahan 2-8, menyebabkan mereka berada di tangga ke-17 dengan hanya mengumpul satu mata selepas tiga perlawanan terawal.

Bahkan, Van Persie turut terkejut dengan kejayaan Arsenal menduduki tangga kelima ketika ini.

“Mungkin terkejut sedikit tetapi kami perlu membiasakan diri dengan pemain baru dan saya memuji Mikel Arteta, Per Mertesacker, Yossi Benayoun. Mereka mempunyai karakter yang hebat dan banyak membantu pasukan.”

Kematangan Van Persie mula terserlah apabila mengharapkan pasukannya semakin maju, daripada kepuasan diri mencapai 37 gol sebelum tibanya 2012.

“Sasaran utama saya adalah memenangi perlawanan dan membantu pasukan mencapai keputusan lebih baik, terutamanya ketika menentang Villa, kerana pentingnya untuk kembali bangkit selepas kekalahan kepada Manchester City, Ahad lalu.

“Pasukan hebat biasanya bangkit daripada kekalahan dan itulah yang kami perlu lakukan. Kami perlu dapatkan kemenangan. Kami akan menentang Wolves selepas ini dan kemudiannya QPR. Kedua-duanya di laman sendiri jadi kami mengharapkan keputusan lebih baik.”




Sila like+tweet dan komen. TQ!

0 Comments
Comments

0 comments:

Post a Comment