SUSPEK kes buang bayi dibawa ke IPD Kuching semalam untuk soal siasat.
KUCHING: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ditahan polis tengah hari semalam, bagi membantu siasatan bayi perempuan yang ditemui di dalam tong sampah di sebuah stesen minyak di Jalan Astana, Selasa lalu.
Suspek yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di sini, ditahan di kediamannya di Petra Jaya oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching selepas mendapat maklumat orang ramai.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, berkata pihaknya masih belum dapat mengesahkan remaja berkenaan sebagai ibu kepada bayi malang berkenaan.
"Soal siasat masih dilakukan ke atas suspek dengan ujian klinikal mungkin dibuat bagi mendapatkan pengesahan bahawa dia adalah ibu bayi yang ditemui itu," katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Selasa lalu, seorang wanita menemui bayi perempuan di dalam tong sampah di tandas stesen minyak sebelum siasatan polis berjaya mendapatkan rakaman kejadian melalui kamera litar tertutup (CCTV).
Sila like+tweet dan komen. TQ!