‘Enam jurulatih China sentiasa pantau aksi saya’
SELEPAS mendedahkan hajat berguru semula dengan sifunya, Datuk Misbun Sidek, Lee Chong Wei menegaskan dia memerlukan ‘senjata baru’ yang lebih ampuh bagi mempertajamkan corak dan gaya permainan tatkala digamit misi penting di Sukan Olimpik yang berbaki tujuh bulan lagi.
Jaguh perseorangan itu yang berjaya mengekalkan kedudukan pemain nombor satu dunia selama empat tahun berkata, ‘senjata baru’ itu penting kerana corak serta gaya permainan ditampilkan kini statik dan mudah dibaca lawan terutama dua pencabar dari Tembok Besar China, Lin Dan dan Chen Long.
“Saya harap jurulatih (Rashid Sidek, Tey Seu Bock dan Hendrawan) boleh berbincang membantu saya mencari ‘senjata baru’. Mungkin ia boleh membantu saya mempelbagaikan corak permainan dan pukulan menghadapi setiap lawan.
“Lagipun, saya dapati China bukan hanya ada seorang jurulatih yang sentiasa memantau dan memerhatikan saya, tetapi mereka mempunyai enam jurulatih serta memiliki tiga hingga empat orang bagi menganalisis corak permainan saya setiap kali beraksi,” katanya.
Sementara itu, Seu Bock menegaskan dia sudah memberi beberapa petua kepada anaknya didiknya bagi memantapkan corak permainannya dan berjanji berbincang dengan Rashid dan Hendrawan bagi mencipta ‘senjata baru’ yang lebih ampuh bagi membolehkan dia mudah memerangkap dan menumbangkan lawan.
“Saya juga ada meminta bantuan Misbun dan dia ada meminta supaya rakaman permainan Chong Wei diberikan kepadanya bagi membolehkan dia menganalisis sebelum memberi pandangan serta cadangan,” katanya.
Ketika ditanya sama ada dia berkecil hati di sebalik kenyataan mengejut Chong Wei yang mahu menagih semula khidmat Misbun untuk membimbingnya semula, Seu Bock menegaskan dia sedikit pun tidak berkecil hati.
“Saya juga menegaskan tidak gagal selaku jurulatih kerana saya sudah membuktikan kemampuan apabila membimbingnya mara dalam 11 final daripada 14 kejohanan sepanjang musim ini. Ini satu pencapaian hebat dan belum ada pemain pernah melakukannya.
“Namun, saya bersikap terbuka dengan mengalu-alukan sesiapa untuk membantu Chong Wei termasuk Misbun. Lagipun, Chong Wei adalah pertaruhan utama kita di London 2012 nanti,” katanya.
Sila like+tweet dan komen. TQ!