JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat daripada 908 orang pada jam 10 malam tadi kepada 932 orang pada 9 pagi ini.
Portal banjir Majlis Keselamatan Negara menunjukkan pusat pemindahan yang dibuka juga meningkat daripada 22 kepada 27 pusat.
Pusat pemindahan itu ialah di Segamat (13), Mersing (sembilan) dan Batu Pahat (lima).
Mersing mempunyai jumlah mangsa teramai iaitu 432 orang daripada 112 keluarga, Segamat (335 daripada 81 keluarga) dan Batu Pahat (165 daripada 42 keluarga).
Hujan lebat menyumbang kepada kenaikan air banjir dengan taburan melebihi 60mm dengan jumlah tertinggi yang dicatatkan ialah 176mm di Endau, Mersing.
Manakala Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat meningkat ke paras bahaya 9.21 meter manakala Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat (6.11m).
Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar mencapai paras amaran 2.77m, Sungai Bekok di Empangan Bekok dan Sungai Senggarang di Senggarang Batu Pahat masing-masing mencatatkan paras amaran air sungai pada 16.53m dan 3.18m manakala Sungai Segamat di Segamat, Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat masing-masing 9.18m dan 19.55m.
Sila like+tweet dan komen. TQ!