Saturday, December 24, 2011

Risau bedah waktu haid







Mahu buang buang fibroid, cyst tetapi jadual bertembung tempoh datang bulan 

Soalan: ASSALAMUALAIKUM doktor, saya berumur 38 tahun dan seorang obes. Saya akan menjalani pembedahan membuang fibroid dan cyst, tidak lama lagi. Masalah saya, tarikh pembedahan itu adalah pada hari yang lazimnya saya datang haid.


Apakah pembedahan boleh dilakukan ketika saya datang haid? Apakah kesan sampingan akibat pembedahan itu? Saya amat risau memikirkan perkara ini. Harap doktor dapat memberi jawapan sebelum saya menjalani pembedahan.
Zunaini Zakaria, Kuala Lumpur 

Jawapan: ASSALAMUALAIKUM Zunaini, secara amnya, pembedahan ketika haid tidak membawa apa-apa kesan sampingan yang lebih daripada pembedahan yang dilakukan selepas haid. Bagi kebanyakan wanita, mereka akan merasa kurang selesa jika pembedahan dilakukan ketika haid kerana mereka menganggap, darah haid adalah darah kotor. 

Jadi, mereka merasakan tidak sesuai melakukan perkara yang berhubung dengan rahim. Dari segi perubatan, darah haid adalah bersih. Maksudnya, ia adalah lelehan dinding rahim yang steril yang berbentuk darah. 

Kebiasaannya, doktor akan menunggu sehingga haid habis kecuali pembedahan itu amat kritikal di mana jika ditangguhkan, ia boleh membawa kemudaratan kepada pesakit. Ini disebabkan pesakit berasa kurang selesa ketika itu. Kami juga berasa kurang sesuai terutama pembedahan atau prosedur yang membabitkan vagina, servik dan rongga rahim. 
Contohnya, ujian pap-smear, histeroskopi, kolposkopi dan sistoskopi. Semasa haid, keputusan ujian mungkin tidak tepat. 

Anda tidak jelaskan sama ada anda akan menjalani pembedahan pembuangan fibroid dan cyst secara laparaskopi atau laparatomi. Kaedah secara laparaskopi selalunya memerlukan satu peralatan yang dipanggil ‘uterine manipulator’ untuk membantu kami dalam pembedahan. 

‘Manipulator’ ini perlu dimasukkan ke dalam rahim bagi mengangkat atau mengubah posisi rahim ketika pembedahan. Jadi, jika anda sedang haid, amat kurang sesuai melakukan laparaskopi. 

Laparaskopi adalah satu kaedah pembedahan yang menggunakan satu set kamera kecil dan beberapa peralatan pembedahan dan dilakukan melalui lubang-lubang kecil di atas perut. 

Pembedahan secara laparatomi adalah kaedah biasa di mana fibroid dan cyst dikeluarkan melalui pembedahan di atas perut seperti pembedahan caesarean. Kaedah ini tidak memerlukan apa-apa peralatan untuk masukkan ke dalam rongga rahim atau vagina. 

Selalunya, pada pengalaman saya, pembedahan ketika haid akan mengalami perdarahan yang lebih sedikit. Ini kerana ketika ini, saluran darah akan timbul dan bengkak kerana reaksi dari hormon. 

Tetapi tidaklah membawa perkara yang buruk kerana doktor dapat mengawalnya ketika pembedahan. Salah satu risiko pembuangan fibroid adalah perdarahan yang berlaku. 

Kami tahu pembedahan fibroid akan menyebabkan perdarahan yang lebih, kadangkala membimbangkan. Salah satu cara kami lakukan sekiranya fibroid ini terlalu besar atau banyak, kami akan memberi satu suntikan gonadotrofin satu atau dua bulan sebelum pembedahan. 

Ini dapat mengecutkan fibroid dan menyebabkan saluran darah di keliling fibroid mengecil. Kaedah dapat mengurangkan perdarahan. 

Kesimpulannya, saya berpendapat, anda perlu berbincang dengan doktor jika haid berlaku pada tarikh ditetapkan untuk menjalani pembedahan. Kes ini tidak kritikal. Jika anda berasa kurang selesa dan khuatir ada perkara yang kurang baik berlaku, anda boleh meminta doktor menangguhkan pembedahan itu sehingga selepas haid. 

INFO: Bagi anda yang memiliki kemusykilan mengenai kesihatan, sila hantarkan soalan kepada “Doktor di Berita Minggu” melalui e-mel, bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdb Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur. 



Sila like+tweet dan komen. TQ!

0 Comments
Comments

0 comments:

Post a Comment