Thursday, December 22, 2011

Gangguan seksual




Gangguan seksual satu kesalahan jenayah, pelaku boleh didenda dan dihukum penjara 

APAKAH takrif gangguan seksual? Apakah ia merangkumi aspek fizikal semata-mata? Andai itulah yang disangka, hakikatnya takrifan itu sudah tersasar. Ini disebabkan aspek lisan, komen, jelingan, menjilat bibir, memakan dengan cara menggoda, termasuk makan pisang yang membawa unsur seksual saja sudah cukup menepati definisi gangguan seksual.


Tingkah laku mengurat dan sudah cukup menepati definisi gangguan seksual. Tidak ketinggalan, gangguan visual pula seperti merakam gambar atau video, menjadi aliran kepada pasangan bercinta dengan mengambil gambar pasangan dalam keadaan tidak sepatutnya turut menjadi gangguan apabila imej itu dijadikan ‘senjata’ mengugut atau disebarkan kepada pihak ketiga.
Malah, 90 peratus kes gangguan seksual babitkan mereka berusia 18 tahun ke atas. 

Kenali ciri-ciri gangguan seksual dan cabaran pihak berkuasa mendakwa pelaku gangguan ini... 


Padah cakap lucah, raba 
MENANGANI masalah gangguan seksual dan mensabitkan pelaku ke muka pengadilan sehingga dijatuhi hukuman setimpal menjadi cabaran terbesar dihadapi pihak berkuasa berikutan pelbagai kekangan sepanjang siasatan, mengumpul bukti dan kesediaan pelaku mendedahkan kes. 

Lebih sukar lagi, jika mangsa sendiri tidak pasti sama ada dirinya menjadi mangsa. Ada ketikanya pula, keterangan diberikan sering saja tidak konsisten dan berubah-ubah sehingga boleh menjejaskan siasatan serta menyukarkan pendakwaan. 

Supritenden Ong Chin Lan dari Jabatan Siasatan Keganasan, Penderaan Kanak-kanak dan Keganasan Rumah Tangga, berkata mangsa sukar untuk memberikan keterangan yang jelas kerana berasa malu atau segan, selain berada dalam keadaan trauma dan enggan bercakap. 

Keadaan itu, akhirnya, boleh mengganggu siasatan dan tidak dapat diteruskan, lantaran pelaku pula terus bebas walaupun melakukan kesalahan, akibat kurang bukti. 

“Masalah dalam siasatan yang menyukarkan polis mendapat keterangan dan bukti antara sebab kes gangguan seksual tidak dapat dibuat pendakwaan. Selain itu polis juga menghadapi masalah memanggil saksi kerana ada yang enggan memberi kerjasama. Ketiadaan saksi, pendakwaan tidak begitu kukuh,” katanya. 

Ong berkata, gangguan seksual boleh berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu lisan, bukan lisan atau isyarat, gangguan fizikal dan visual. Bagi bentuk lisan ia boleh merangkumi kata-kata, komen, gurauan, lisan bunyi dan juga soalan yang berbentuk ancaman atau pun cadangan seksual manakala; gangguan bukan lisan adalah seperti pandangan, jelingan, menjilat bibir, memakan atau makan dengan cara menggoda, isyarat tangan dan tingkah laku mengurat. 

“Makan pisang yang membawa unsur bermaksud seksual boleh dianggap gangguan seksual. Begitu juga jika ada lelaki memuji seorang wanita yang memakai pakaian seksi, bukan niatnya memuji cantik tetapi dengan maksud menjurus seksual. 

Jika kedua-dua perbuatan itu tidak disenangi dan mengaibkan kehormatan serta menjatuhkan maruah, mangsa perlu nyatakan pendirian kepada pelaku dan boleh buat laporan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja, Peranan Polis Diraja Malaysia Dalam Mengekalkan Keselamatan dan Persekitaran Kehidupan Kondusif Untuk Orang Awam pada Seminar Gangguan Seksual & Produktiviti; Peranan Anda Sebagai Individu, Organisasi dan Komuniti anjuran BG Capital Holdings Sdn Bhd & Berani Guard Sdn Bhd di Konvensyen Shah Alam (SACC) di Shah Alam, baru-baru ini. 

Ong berkata, gangguan visual pula seperti merakam gambar atau video, menjadi aliran kepada pasangan bercinta dengan mengambil gambar pasangan dalam keadaan tidak sepatutnya. 

Pada awalnya gambar itu diambil ketika masing-masing suka sama suka, tetapi masalahnya apabila bergaduh gambar imej itu digunakan untuk mengugut dan mungkin disebarkan kepada orang lain. 

Menjelas lanjut, katanya, gangguan fizikal merangkumi sentuhan tidak diingini, mencubit, memeluk dan sebagainya, justeru jika sesiapa yang tidak suka dengan perbuatan seumpama itu haruslah tegas menyatakan pendirian dan jangan biarkan ia berterusan. 

“Pelaku perlu ingat, sentuhan mudah itu bukan ‘murah’ kerana ia boleh menyebabkan kekesalan sepanjang kehidupannya. Gangguan seksual dilihat sebagai satu kesalahan jenayah dan pelaku boleh didakwa, didenda dan dipenjara. Tiga peruntukan berhubung kesalahan gangguan seksual meliputi, Kanun Keseksaan ialah seksyen 509 Kanun Keseksaan, seksyen 354 Kanun Keseksaan dan seksyen 355 Kanun Keseksaan,” katanya turut percaya kebanyakan kes gangguan seksual tidak dilaporkan. 

Ong memberitahu, 90 peratus kes gangguan seksual membabitkan individu berusia 18 tahun ke atas. 

Gangguan seksual, antaranya pelaku sememangnya mencari sasaran, mangsa kurang berhati-hati, mangsa tidak tahu haknya, mangsa kurang matang dalam pemikiran dan kurang pengetahuan. 

Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, Ong menasihatkan setiap individu supaya tingkatkan kepekaan dengan menjaga keselamatan diri dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. 

Sementara itu, Pegawai Psikologi Jabatan Pembangunan Kementerian, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Fenny Yap Lai Keng, yang membincangkan tajuk, “Polisi Kebangsaan Wanita - Memahami Peranan dan Inisiatif Kementerian Dalam Membasmi Isu Gangguan Seksual dan Keganasan Wanita”, berkata bagi meningkatkan kualiti kehidupan wanita, antara matlamat utama kementerian ialah menjadi titik fokus dalam mencapai kesaksamaan gender, pembangunan keluarga dan masyarakat penyayang sebagai asas untuk pembentukan ke arah negara maju. 

“Misi kementerian ialah untuk mengintegrasikan wanita dan masyarakat dalam arus perdana, proses pembangunan negara dan memperkukuhkan institusi keluarga ke arah meningkatkan kesejahteraan sosial. 

“Oleh itu, segala bentuk keganasan dan gangguan seksual terhadap wanita cuba ditangani kerana ia boleh merencatkan misi ingin dicapai. Bagi memastikan misi tercapai strategi turut dirangka antaranya ialah merumus, melaksana dan memantau hal berkaitan golongan itu,” katanya. 

Tambahnya lagi, setiap tahun kementerian mengadakan pelbagai program di setiap negeri seperti kempen dan seminar bertujuan menyampaikan maklumat serta pengetahuan kepada semua wanita. 

Selain itu, kementerian juga menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan kepada wanita seperti khidmat nasihat dan kaunseling serta menyediakan pusat perlindungan kepada mangsa yang memerlukan bantuan seumpama itu. 

“Wanita berusia 18 hingga 40 tahun amat digalakkan membabitkan diri secara langsung dengan program yang kementerian adakan. Pembabitan mereka penting bagi meningkatkan keprihatinan dan pengetahuan mengenai hak mereka dan cara untuk membasmi keganasan terhadap wanita. Malah, talian hotline Nur 15999 juga diperkenalkan bagi membolehkan sesiapa saja membuat aduan,” katanya. 



Sila like+tweet dan komen. TQ!

0 Comments
Comments

0 comments:

Post a Comment