Setiap mangsa sanggup mencagarkan tanah kepada bank selepas mendengar taklimat suspek berusia 51 dan 47 tahun itu, membayar RM1,600 kepada lelaki berkenaan yang kononnya sebagai bayaran menguruskan pinjaman itu.
Mangsa berusia dalam lingkungan 50-an dan 60-an itu dikatakan tertarik dengan pulangan ‘Skim Dana Persisiran Pantai Labuan Kepada Pemilik Tanah Bumiputera' yang didakwa memberi pulangan sebanyak RM5 juta dengan setiap pelaburan berjumlah RM1,000.
Difahamkan, mangsa yang mahukan keuntungan berlipat kali ganda kemudian dipujuk supaya membuat pinjaman bank dengan mencagarkan tanah masing-masing dan suspek berjanji untuk menguruskan proses berkenaan.
Mereka kemudian menyerahkan dokumen berkaitan dengan disertai bayaran RM1,600 setiap seorang kepada suspek melalui orang tengah Mac lalu, sebelum menyedari tertipu apabila suspek itu gagal dihubungi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Ramli Mohd Nor, berkata susulan itu, mangsa melantik seorang wakil yang kemudian melaporkan perkara itu kepada polis, awal bulan lalu.
“Siasatan awal mendapati, tiada pinjaman bank dipohon bagi pihak mangsa dan mereka bernasib baik kerana tanah milik mereka tidak tergadai.
“Kita percaya, suspek sememangnya mahu menipu wang bayaran itu kononnya untuk menguruskan pinjaman berkenaan yang secara keseluruhan berjumlah lebih RM400,000,” katanya, semalam.
Pada masa sama, beliau meminta dua lelaki tampil untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Mereka adalah Sabari Mansor, 47, beralamat terakhir di No 3, Jalan Nibong 35, Taman Daya, Johor Bahru dan Ibrahim Hashim, 51, di alamat terakhirnya di No 25, Jalan Cendrawasih, Taman Paroi Jaya, Seremban.
Sila like+tweet dan komen. TQ!