JAKARTA: Pihak Berkuasa Kesihatan Bali sedang menyiasat dakwaan bahawa seorang pelancong Australia dijangkiti HIV menerusi jarum tercemar ketika ditatu di sebuah kedai tatu di Kuta di pulau peranginan itu.
Ketua Agensi Kesihatan Daerah Badung, Gede Putra Suteja, berkata pihak berkuasa itu menghantar satu pasukan untuk menyiasat dakwaan berkenaan dan berjanji untuk mengambil tindakan terhadap kedai tatu itu.
Seorang pemilik kedai tatu di Kuta berkata, beliau sentiasa mensteril
alat mentatu selepas digunakan dan pelancong ini mungkin dijangkiti HIV
menerusi hubungan seks tidak selamat di Bali dan bukan ketika ditatu," katanya.
Baru-baru ini, Pihak Berkuasa Australia berkata, seorang pesakit didiagnos
dengan HIV, kemungkinan dijangkiti virus itu ketika ditatu di Bali dan mencadangkan mereka yang ditatu di pulau itu agar mempertimbangkan untuk diuji HIV dan virus berkaitan darah lain.
Sementara itu dalam usaha untuk mencegah meningkatnya bilangan mereka yang
dijangkiti HIV/AIDS di Bali, pihak berkuasa di pulau itu merancang menubuhkan
lebih banyak klinik sukarela kaunseling dan ujian (VCT).
Ketua Agensi Kesihatan Bali, Nyoman Sutedja, berkata baru-baru ini terdapat 26 klinik VCT di Bali tetapi kesemua 57 daerah kecil di pulau itu akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah klinik VCT pada masa akan datang.
Dengan pembukaan lebih banyak klinik VCT, akan menjadikan orang ramai lebih
menyedari risiko jangkitan virus berkenaan dan membuat pemeriksaan di klinik
sedia ada.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan AIDS Indonesia, jumlah kes HIV/AIDS yang
dilaporkan di Bali meningkat pada tahun lalu, dengan satu kes bagi setiap
pelacur dilaporkan positif HIV dan bilangan itu melonjak hampir 19 peratus
berbanding pada tahun sebelumnya.
Terdapat 5,222 kes HIV/AIDS di Bali pada tahun lalu dengan hampir separuh
daripadanya adalah di Denpasar.
Sila like+tweet dan komen. TQ!