Dewi Sandra berdoa perkahwinan ketiga kekal ke akhir hayat
DUA perkahwinan terdahulunya berakhir dengan kegagalan, namun sejarah hitam itu tidak pernah membuatkan penyanyi, Dewi Sandra serik dan mengalah kepada suratan yang tertulis untuknya.
Perkahwinan pertama dengan aktor, Surya Saputra tidak menjanjikan kebahagiaan berpanjangan apabila mereka berpisah pada Januari 2005 selepas lima tahun hidup bersama.
”Pertama kali bernikah, saya fikir ia untuk selama-lamanya namun ternyata sebaliknya berlaku,” kata pemilik nama lengkap, Dewi Sandra Killick ketika ditemui wartawan di Jakarta, tidak lama dulu.
Penyanyi yang cukup dikenali di Malaysia dengan lagu Ku Akui dan Tak Ingin Lagi ini, bagaimanapun bernikah buat kali kedua dengan penyanyi terkenal, Glenn Fredly pada 3 April 2006.
“Saya mencuba lagi untuk kali kedua. Tidak pernah saya menyangka akan kembali bergelar isteri dalam tempoh sepantas itu.
“Namun Tuhan mempunyai rencana lain untuk saya. Saya menerima ujian lagi. Tapi, saya terus berdoa agar dipertemukan dengan lelaki terbaik,” katanya lagi.
Namun seperti pernikahan pertama, perkahwinan kedua juga tidak membawa wanita kelahiran Brazil berusia 30 tahun itu ke mercu kebahagiaan yang diimpikannya.
Disember 2008, teka-teki kehancuran rumah tangganya dan Glenn mula dihidu media, mencambahkan kekalutan dalam kehidupan artis yang memegang profesion sebagai pengacara, penyanyi dan bintang sinetron itu.
Ketika media ligat memburu, Dewi bijak menyembunyikan status sebenar perkahwinan yang diadakan di Bali itu. Seakan tidak terganggu dengan permasalahan itu, Dewi sempat melahirkan album, Wanita ketika rumah tangganya diamuk badai.
Bagaimanapun, Dewi terpaksa akur menerima kenyataan kebahagiaan yang cuba dipertahankan bukan miliknya. Buat kali kedua, pelakon filem XL dan Antara Aku, Kau Dan Makerot kembali memegang status janda apabila disahkan bercerai pada 27 Ogos 2009.
“Pengalaman lalu buat saya adalah pengalaman berharga dan jadi pengajaran yang tidak terganti. Mereka yang pernah hadir dalam hidup saya adalah guru terbaik,” katanya.
Impak dua perpisahan itu membuatkan wanita berdarah kacukan Inggeris-Indonesia ini begitu berhati-hati apabila diajak berbicara mengenai hal peribadinya.
Saat ditemui media pada 7 Disember lalu, empat hari sebelum Dewi diijabkabulkan dengan jejaka berusia 33 tahun, Agus Rahman, bibirnya seakan terkunci kemas apabila soalan berkaitan perkahwinan kembali diajukan.
“Mohon maaf jika saya meletakkan batasan dalam soalan peribadi. Sudah terlalu banyak air mata saya yang mengalir sebelum ini.
“Saya tidak boleh menyalahkan orang lain atas kemahuan sendiri. Saya tidak mahu apa yang pernah saya lalui berulang kembali.
“Setiap sesuatu dalam hidup ini sudah diatur cuma saya mengharapkan doa daripada semua yang menyayangi,” katanya memohon isu peribadinya tidak dibicarakan secara terbuka di media.
Doanya diperkenankan Allah apabila pernikahan ketiga Dewi berlangsung tanpa kehadiran media pada pagi Ahad lalu di Plataran, Jagakarsa, Jakarta Selatan.
Menolak pernikahan mereka diadakan secara tergesa-gesa, Dewi berharap kebahagiaan yang sedang berputik itu akan berpanjangan hingga ke akhir hayat.
Jauh di sudut hati pembawa lagu Kapanlagi Kau Bilang I Love You itu berharap Agus Rahman menjadi lelaki terakhir menghuni sanubarinya hingga maut memisahkan mereka.
“Saya tidak mahu mengungkit masa lalu dan ingin melangkah ke depan dalam kehidupan saya. Saya banyak belajar daripada pengalaman dan kegagalan lalu.
“Saya berharap dapat mendampingi Agus Rahman dan diberkati Allah sebagai pasangan yang sakinah sehingga maut memisahkan kami,” katanya.
Upacara ijab kabul disempurnakan pada jam 9 pagi di mana Dewi menerima sepersalinan kelengkapan solat dan wang emas seberat 25.5 gram.
“Maaf kerana baru berkesempatan berterus terang selepas selesai pernikahan. Tiada tujuan lain kecuali memastikan acara pernikahan berjalan lancar,” kata Agus yang mengangkat batik sebagai tema majlis resepsi mereka.
Agus mengakui, mereka sudah lama berkenalan diawali dengan persahabatannya bersama pengurusan, Star Management yang menguruskan karier nyanyian Dewi.
Pertemuan demi pertemuan membuka pintu hati Agus untuk menjadikan Dewi sebagai permaisuri hidupnya.
“Bohong jika saya cuma melihat hatinya. Namun secara fizikal dan keperibadiannya, Dewi memiliki ciri menarik malah berharap dia akan menjadi pasangan saya yang paling ideal,” katanya.
Agus serius
ENGGAN tergopoh-gapah mencari pengganti, serta tidak mahu terus ditemani air mata apabila kebahagiaan diimpikan bertukar menjadi mimpi ngeri, Dewi mengambil masa yang panjang sebelum memberikan kata persetujuan untuk bergelar suri kepada Agus.
Akui Dewi, dia membiarkan perkenalan mereka melalui satu demi satu fasa kerana ingin betul-betul mengenali peribadi suaminya yang sebenar.
Hanya selepas melihat keserasian yang terjalin serta masing-masing mempamerkan keseriusan untuk melangkah ke satu fasa berbeza, Dewi yakin Agus ialah pilihan yang tepat.
“Banyak fasa yang kami lewati dan dari situ, saya melihat Agus seorang yang serius dan bertanggungjawab. Lebih penting, kami mempunyai pegangan iman yang sama.
“Saya berharap Agus akan menjadi imam yang saya perlukan dan bersedia membimbing ke arah kebaikan. Perkara ini terlebih dulu kami bincangkan dengan keluarga, lalu pernikahan ini terjadi,” katanya.
Kesilapan yang pernah dilaluinya kata Dewi, tidak seharusnya dijadikan sebagai suatu isu yang menyebabkan ia kembali diungkap dan diperdebatkan.
“Saya selalu memberitahu, jejaka yang mampu menerima saya itu ialah lelaki yang luar biasa. Saya punya masa lalu dan pengalaman yang menjadi landasan untuk kami berdua belajar,” kata Dewi.
Sila like+tweet dan komen. TQ!