"MEMANG tiada ruang untuk sebarang rayuan kerana semua syarat ini sudah lama ditetapkan. Tunggu sajalah pendaftaran kedua, April depan untuk ambil import baru."
Itu kenyataan jelas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad mengenai isu sembilan pemain import yang gagal melepasi syarat beraksi pada Liga Malaysia (Liga-M) 2012.
Apapun, keputusan itu tetap dianggap ‘keras’ oleh beberapa persatuan negeri dan kelab, semalam yang sebaliknya mahu membuat rayuan walaupun garis panduan sudah pun tertera jelas.
Antara gabungan yang belum puas hati itu adalah Johor FC gara-gara kehilangan dua import dari Brazil manakala Terengganu, satu juga dari Brazil. Anehnya, Perlis pula ‘menambah keliru keadaan’ apabila mengumumkan dua pemain yang tiada langsung dalam senarai pendaftaran.
Perkara 20 pada Garis Panduan Pengambilan Pemain Import Liga-M yang terdapat di laman web FAM sejak Oktober lalu juga menyebut andai terdapat pertikaian mengenai garis panduan ini, keputusan Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan FAM adalah muktamad.
Justeru Azzuddin berharap ia dijadikan pengajaran buat persatuan negeri dan kelab supaya pengurusan mereka lebih teliti dan berhati-hati pada masa akan datang.
“Syarat-syarat ini mereka sudah sedia maklum sejak kita umum untuk benarkan kemasukan pemain import, Julai lalu. Jika mereka bertindak awal sebelum tarikh tutup pendaftaran (8 Disember lalu), pasti tiada masalah.
“Ini tarikh sudah tutup, masih nak buat rayuan. Selagi FAM tak tegas, sampai bila-bila masalah ini akan berulang,” kata Azzuddin ketika dihubungi, semalam.
Syarat pengambilan pemain import ditetapkan FAM, jika kelab terakhir dari Amerika Latin, Afrika dan Eropah, mestilah Divisyen 1 atau 2, manakala bagi Asia, mestilah Divisyen 1.
Tujuh pemain yang gagal itu ialah Tito Fernando Da Silva Pinto, Tiago Lima Leal (Johor FC), Bianchi Parades Santiago (FELDA United), Marquen Nuquen Goncalves (N Sembilan), Helmi Loussaief (PKNS FC), Richard Offiong (Johor) dan Sergey Ivanov (Pahang).
Menurut pencarian Internet di laman wikipedia, mereka ini hanya beraksi di Divisyen 3 hingga 6 bagi liga di Brazil, Itali, Greece dan England.
Manakala dua permohonan ditarik balik iaitu Tercio Nunes Machado (Terengganu) dan Oladimeji Mathew Talabi (NS Betaria) selepas gagal ujian perubatan kerana Hepatitis B, menjadikan hanya 26 pemain diisytihar lulus.
Sila like+tweet dan komen. TQ!