BUKU Penamat sejarah dan Manusia Terakhir (Edisi Terjemahan. 2009, ITNM) mengemukakan thymos, isothymia dan megalothymia individu dan masyarakat dalam kapitalisme dan demokrasi liberal.
Fukuyama menjelaskan thymos ialah keinginan individu untuk mendapatkan pengiktirafan. Megalothymia merujuk pada keperluan untuk diiktiraf sebagai lebih baik daripada orang lain, manakala isothymia merujuk pada keperluan diiktiraf sebagai sama dengan orang lain.
Songlap mendekati gaya naratif filem dokumentari yang menghiburkan. Sepuluh minit pertama memaparkan kapitalisme sebagai subjek naratifnya. Babak pertama, bayi dan ringgit bertukar tangan. Riak wajah Ad menjelaskan keadaan dalaman dirinya apabila bertemu semula dengan Am (abang) yang menunggu dengan kereta Proton Saga buruk di tepi jalan. Kemudian menyusur kota metropolitan untuk memikirkan semula objek kapitalis yang tersergam pada papan tanda syarikat asing sepanjang jalan.
Songlap begitu berjiwa. Am dan Ad sebagai thymos yang bersifat negatif. Ad dan Am berubah kepada megalothymia apabila bertekad menyelamatkan Hawa dan lari bersamanya ke Kuantan. Sebelum itu Ad merancang menyertai Pertandingan Tarian B-Boy. Hadiah RM50,000 yang ditawarkan itu gagal diperolehinya. Ibunya yang menjadi pelacur juga gagal dipujuk ke penghidupan lebih baik sebagai anti-klimaks yang menjadi. Jika tandus kreativiti pasti filem ini berubah kepada kejayaan anak pelacur mendapat hadiah wang tunai di hujung naratif.
Razak, abang kepada Hawa dan rakan kepada Ad merupakan thymos kekal negatif hingga mati keracunan dadah. Babak itu amat ‘bising’ bersuara. Lokasi bangunan usang itu ada di laluan Monorail di Brickfields, antara Stesen KL Sentral dan Tun Sambathan. Berlatar bangunan tinggi, Ad dan Razak dalam ekstasi menyuarakan segala-galanya tentang Kuala Lumpur.
Pak Din bapa kepada Hawa, Keluarga Keong dan Keong, Dr dan Abang Mat dan anak buahnya adalah thymos bersifat negatif. Masing-masing mahu diiktiraf di kalangan kumpulan sebagai tuan dan berkuasa ke atas orang yang ditakluknya. Apabila Pak Din menjejaki Hawa dan Am, Pak Din adalah megalothymia yang cuba mempertahankan keseronokan syahwatnya, hingga beronani sambil menatap gambar Hawa. Am, Ad dan Hawa juga megalothymia apabila bertekad berhijrah ke Kuantan mencapai kehidupan lebih baik dan diiktiraf. Rumusannya, di kemuncak naratif hampir ke semua watak berubah mencapai tujuan ‘lebih baik’.
Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud menerusi Budaya Ilmu dan Gagasan 1Malaysia (Akademi Kenegaraan BTN 2011) menjelaskan hakikat Malaysia sebagai sebuah demokrasi dan negara Islam. Apabila Abang Mat bersenda ujar, "1Malaysia”, “China, India dan Melayu” menjelaskan ketertolakan kaum Melayu ke belakang.
Wujud hubungan bertentangan antara keghairahan untuk mencari untung menurut pandangan ‘hidup’ kapitalisme dengan demokrasi.
Dalam tafsiran negara maju yang kini sedang popular, penekanan hanya diberikan kepada kehidupan aqli dan kebendaan; manakala agama dan keturunan dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan. Bagi kita untuk maju, dasar-dasar agama tidak harus ditafsir semata-mata untuk mengikut kehendak dan perubahan masyarakat semasa. Malah dasar-dasar ini harus dipegang teguh dan diamalkan dalam menghadapi cabaran zaman dan membina peradaban baru manusia yang lebih maju, berakhlak dan bahagia.
Songlap menjelirkan lidahnya menerusi babak kejar mengejar Am dan Keong di tengah kota yang sesak dengan lagu latar secara sinis mempersoalkan makna negara Malaysia. Terdapat sebuah papan tanda kedai buku terpuruk di lorong belakang deretan kedai bukannya melambangkan ketiadaan golongan ilmuwan tetapi ilmuwan tidak berfungsi sepenuhnya. Imej ‘karat’ dan ‘buruk’ melambangkan ketiadaan ilmu.
Menerusi Songlap, dalam konteks demokrasi liberal, Gagasan 1Malaysia cuba mengharmoniskan thymos dan megalothymia untuk menerima kapitalisme sebagai penggerak kemajuan negara. Namun ia gagal difahami oleh megalothymia yang tiada keseimbangan dan kewajaran menghalalkan segala cara mencapai matlamat dan keuntungan mata wang sebagai tiang seri kapitalisme.
Lihat saja superior Keong ke atas Hawa, Am dan Ad yang mahu berhijrah kepada kebaikan. Pertembungan antara megalothymia selari dengan kenyataan Fukuyama, “megalothymia ialah fenomena kabur dari segi moralnya; perkara yang baik dan perkara yang buruk dalam kehidupan mengalir daripadanya, secara serentak dan seadanya.”
Pemerdagangan manusia, pelacuran, samseng, klinik haram, keruntuhan institusi keluarga adalah putaran ganas demokrasi liberal dan kapitalisme, bertentangan dengan Gagasan 1Malaysia. Songlap mengesahkan cirinya sebagai sebuah filem sinikal “lapan” bintang!
Sila like+tweet dan komen. TQ!