SAHUL Hameed menunjukkan lori tangki yang terbabit dalam kegiatan curi minyak sawit mentah di kawasan perindustrian Kota Puteri, Masai.
JOHOR BAHRU: Empat lelaki ditahan kerana mendalangi kegiatan mencuri minyak sawit mentah daripada lori tangki setiap kali komoditi itu diangkut ke kilang penapisan.
Berdasarkan modus operandi, kumpulan terbabit yang turut disertai pemandu lori, mencuri minyak sawit mentah berkenaan dalam kuantiti yang kecil daripada setiap lori tangki yang menjadi sasaran mereka.
Kumpulan terbabit dikesan menjadikan kawasan perindustrian Kota Puteri dekat Masai di sini sebagai lokasi persinggahan lori tangki yang hendak dicuri minyak sawit itu, sebelum pemandunya meneruskan perjalanan ke kilang.
Pemandu lori yang bersubahat dengan kecurian itu kemudian memberi alasan yang bahan mentah dibawanya berkurangan akibat tumpahan daripada tangki yang berlaku sepanjang perjalanan.
Susulan serbuan terhadap kawasan perindustrian Kota Puteri kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin, Polis Seri Alam merampas 20 tong berisi minyak sawit mentah yang dianggar bernilai kira-kira RM17,000.
Serbuan itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin, berkata hasil serbuan itu, empat lelaki berusia 33 hingga 37 tahun yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau ditahan.
Katanya, polis turut merampas beberapa peralatan seperti sebuah tangki tanpa muatan, pam motor beroda, empat unit hos getah, sembilan corong minyak dan seunit penyambung hos.
“Semua suspek kini dalam siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Peraturan 15(1)(d) Lembaga Minyak Sawit Malaysia, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda,” katanya di sini, semalam.
Roslan berkata, hasil tangkapan empat suspek terbabit dan pembongkaran mencuri minyak sawit mentah yang didalangi mereka, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes kecurian komoditi itu yang dilaporkan di sekitar kawasan Seri Alam.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Polis Seri Alam menyelesaikan lapan kes curi kabel susulan tangkapan tiga pemuda berusia 16 hingga 24 tahun dalam satu serbuan di Batu 16, Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, dekat sini, awal pagi semalam.
Roslan berkata, dalam serbuan kira-kira jam 4.45 pagi itu, polis merampas sebuah kereta Perodua Kembara, beberapa peralatan pecah rumah serta satu guni kabel tembaga, dipercayai hasil curi.
Katanya, semua suspek kini ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(1) Undang-Undang Kesalahan Kecil.
Sila like+tweet dan komen. TQ!