SEORANG wanita melihat poster orang hilang yang ditampal pada tiang elektrik di bandar Cagayan de Oro, Mindanao, semalam.
ILIGAN: Mayat mangsa taufan dan banjir kilat yang mengorbankan ramai penduduk mencemari perairan di selatan Filipina, kata pihak berkuasa semalam, mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya jangkitan penyakit kepada mereka yang selamat.
Koordinator kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Soe Nyunt-U ketika membuat rayuan untuk mendapatkan dana AS$28 juta (RM88.6 juta) untuk membantu lebih setengah juta penduduk yang terjejas akibat banjir, menyifatkan kawasan bencana alam itu seperti dilanda gelombang tsunami.
Angka kematian rasmi berikutan bencana hujung minggu lalu yang menghanyutkan penempatan setinggan di tebing kebanyakan sungai utama, meningkat kepada 1,000 orang, tetapi pihak berkuasa berkata beratus-ratus lagi penduduk mungkin hilang dan tidak akan ditemui.
Ketua pertahanan awam, Benito Ramos berkata, pengawal pantai dan kapal tentera laut dikerah melakukan kerja menyelamat besar-besaran bagi mencari mayat yang terapung di tengah kemusnahan sehingga beratus-ratus kilometer.
“Sehingga kini, tiada lagi mangsa terselamat, hanya mayat ditemui,” katanya selepas ribut Washi yang membawa hujan lebat menyebabkan banjir kilat dan banjir lumpur melimpahi sungai menimbus mangsa atau menghanyutkan mereka ke laut.
Ramos meletakkan angka kematian kepada 1,010, manakala agensi Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana meletakkan bilangan mangsa yang hilang seramai 51 orang.
Bagaimanapun Datuk Bandar Iligan, Lawrence Cruz, berkata bandar rayanya sendiri melaporkan kehilangan lebih 400 penduduk manakala 283 yang lain disahkan terbunuh.
“Kami hanya dapat menganggap bahawa mereka sudah mati. Terlalu banyak lumpur untuk dibersihkan dan mungkin mereka yang hilang tertanam di dalamnya,” kata Cruz.
Ketua Palang Merah Filipina Gwendolyn Pang, berkata bahawa sekurang-kurangnya 900 mayat ditemui manakala 400 lagi dilaporkan hilang.
Selain itu, jumlah sebenar kematian sukar diketahui berikutan penduduk yang hilang mungkin tersenarai sebagai mangsa yang meninggal dunia.
“Ramai yang tidak akan ditemui dan kita tidak tahu bilangan sebenar yang hilang. Tiada sesiapa yang dapat melaporkannya kerana seluruh keluarga juga turut dihanyutkan,” kata Pang.
Bandar Lligan dan Cagayan de Oro mencatatkan paling banyak kematian setakat ini.
Sebuah kapal tentera laut menemui 11 mayat yang reput di kawasan bandar di tepi pantai Salay pada Rabu, kata jurucakap Leftenan Kolonel Omar Tonsay kepada agensi berita.
Ramos berkata operasi mencari boleh berterusan lebih dua minggu lagi tetapi memberi amaran banyak mayat mungkin tenggelam ke dasar laut dan sukar ditemui.
Keutamaan sekarang adalah mencari penempatan kekal bagi 309,000 orang yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir terutama lebih 43,000 yang ditempatkan di pusat pemindahan yang sesak
Sila like+tweet dan komen. TQ!