Thursday, January 5, 2012

Ibu Rakan Mati Tergantung



ANGGOTA polis membawa keluar mayat Ping Wong di flet Taman Pulai Utama, Pulai, semalam.


PULAI: Pertengkaran yang kedengaran dari sebuah rumah pangsa dekat Pulai Utama di sini mulai tengah malam kelmarin, berakhir dengan penemuan mayat seorang warga tua dalam keadaan tergantung di ruang tamu rumahnya, pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, mayat Yap Ping Won, 64, ditemui tergantung dengan ikatan langsir pada lehernya berdekatan tingkap rumah pangsa didiami bersama seorang anak lelaki di Tingkat Satu, Blok J Taman Pulai Utama. Ketika mayat mangsa ditemui, anak lelakinya tiada di rumah kerana bekerja di Singapura.
Saksi yang juga rakan anak mangsa yang enggan dikenali mendakwa, dia menemui mayat wanita itu ketika mengunjungi rumah berkenaan untuk mengajak rakannya bersarapan sebelum mendapati ketukan pada pintu kediaman terbabit tidak berbalas.
“Saya memanggil nama rakan saya beberapa kali, namun tidak berjawab, menyebabkan saya menolak pintu kayu rumah mereka di sebalik jeriji berkunci. 

“Alangkah terkejutnya melihat ibu rakan saya dalam keadaan tergantung pada langsir rumah mereka. Saya tidak menyangka, hal ini berlaku kerana rakan saya itu tidak pernah menceritakan masalah bersama ibunya,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi bedah siasat. 

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana anaknya dipercayai berada di Singapura kerana bekerja di sana ketika kejadian berlaku,” katanya. 
Read the rest of the entry →

Dihukum Mencuri Selipar






RAKYAT Indonesia melambakkan lebih 1,200 pasang selipar di pusat pungutan di seluruh negara sebagai tanda sokongan terhadap seorang budak yang dihukum penjara kerana mencuri selipar.


Budak berusia 15 tahun yang namanya tidak didedahkan kerana sebab perundangan, didapati bersalah oleh mahkamah daerah Sulawesi Tengah, semalam kerana mencuri selipar seorang pegawai polis.
Budak itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun tetapi dibebaskan semula untuk diberi kaunseling sahaja.
“Berdasarkan bukti dan keterangan saksi, kami mendapati dia bersalah kerana mencuri," kata hakim Rommel Tampubolon.

“Namun mengambil kira usianya, kami memutuskan untuk menghantar semula kepada ibu bapanya," katanya.

Budak itu bagaimanapun mendakwa dia dipukul oleh polis. 

“Tindakan yang ditunjukkan rakyat dan orang awam ini jelas menunjukkan mereka tidak setuju dengan jenayah yang membabitkan remaja. Namun undang-undang perlu menunjukkan keadilan. 
"Dalam kes ini hanya membabitkan kecurian selipar dan kebetulan ia dimiliki seorang pegawai polis," kata Arist Merdeka Sirait, pengerusi Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia.

Laporan menyebut, anggota polis termasuk pegawai yang memiliki selipar berkenaan berjaya menahan budak berkenaan sebelum memukulnya dengan teruk bersama dua lagi rakannya.

Anggota polis berkenaan dikatakan turut menuntut agar budak berkenaan menggantikan semula selipar yang dicuri itu.
Read the rest of the entry →

Wednesday, January 4, 2012

Angkara Ragut




KEJADIAN ragut menyebabkan Muhammad Najmi dan ibunya, Norita mengalami kecederaan teruk di muka. 


Suspek diberkas selepas tinggal motosikal diguna di tempat jenayah 

KUALA TERENGGANU: Selepas empat jam cuba meragut seorang guru taska hingga menyebabkan wanita itu dan anaknya cedera teruk di muka, seorang lelaki ditahan polis di rumah abangnya di Taman Hadhari, Kampung Rhu Batil, Dungun, petang kelmarin.
Suspek berusia 26 tahun berasal dari Kampung Rantau Abang, ditahan selepas polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daerah Dungun menyerbu rumah abangnya pada jam 6.30 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata suspek yang bekerja sebagai buruh dikesan selepas motosikal digunakan untuk meragut terjatuh dan ditinggalkan di tempat kejadian. 

Beliau berkata, pemeriksaan polis mendapati motosikal itu adalah kepunyaan adik suspek, sekali gus memudahkan polis menjejaki suspek yang bersembunyi di rumah abangnya. 

“Ketika serbuan di rumah abangnya, suspek yang mengalami cedera di kaki kiri dan tangan dengan kesan kotor pada pakaian akibat terjatuh dari motosikalnya berada di rumah itu,” katanya di sini, semalam. 

Manoharan berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan pecah rumah dan menyimpan barang curi serta hasil ujian air kencing didapati positif Methamphetamine atau pil kuda. 
Katanya, berikutan itu suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. 

Berita Harian semalam melaporkan, Norita Omar, 37, dari Kampung Pulau Serai, Dungun bersama anaknya, Mohamad Najmi Almin, 5, cedera teruk di muka, tangan dan kaki selepas diragut seorang lelaki berhampiran jambatan Kampung Rajawali, Dungun. 

Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa terpaksa dirawat di Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut. 
Read the rest of the entry →

Usahawan, dua anak serta ibu dipukul hingga mati angkara perniagaan



ANGGOTA polis mengangkat seorang daripada empat mangsa bunuh di RTM Road Lane, di Sibu, semalam.


ISTERI mangsa bunuh (kiri) ditenangkan ahli keluarga, semalam.

Usahawan, dua anak serta ibu dipukul hingga mati angkara perniagaan

SIBU: Empat beranak, termasuk dua kanak-kanak berusia 7 dan 10 tahun dipukul hingga mati menggunakan objek tumpul di rumah mereka di RTM Road Lane di sini, semalam, dipercayai akibat pertelingkahan perniagaan.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa adalah ahli perniagaan yang juga pengarah sebuah syarikat, Ling Tong Hock, 36; ibunya, Leong Nyuk Lan, 76; serta dua anaknya, Amy Ling Zi Jiun, 7 dan David Ling Chei Qi, 10.
Seorang lagi anak Tong Hock, iaitu Kelvin Ling Chei You, 8, selamat, tetapi terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu akibat koma selepas cedera di kepala, manakala isterinya, Li Xiao Lan, 28, seorang warga China sempat menyelamatkan diri melalui tingkap.

Difahamkan, polis menahan seorang wanita warga China yang mempunyai kaitan dalam perniagaan Tong Hock petang semalam, bagi membantu siasatan.

Wanita itu ditahan berdekatan lokasi kejadian sebelum dibawa ke IPD Sibu dan dijangka ditahan reman pagi ini. Suspek berusia 30-an itu dipercayai sudah menetap lama di negara ini dan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga mangsa termasuk menguruskan perniagaannya.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, berkata semua mangsa dipercayai dibunuh sekumpulan penjenayah yang menceroboh rumah berkenaan ketika ada antara mangsa sedang tidur.
“Siasatan mendapati mangsa dipukul beberapa kali dengan senjata tumpul di kepala dan badan. Ahli perniagaan itu turut dikelar lehernya,” katanya.

Beliau berkata, polis yakin penjenayah memasuki rumah itu untuk membunuh semua penghuninya dan menolak kemungkinan motif rompakan kerana semua barang berharga milik mangsa langsung tidak disentuh.

Kanak-kanak itu dan nenek mereka dibunuh dalam bilik di tingkat atas, manakala mayat Tong Hock ditemui di bilik tidur utama. Difahamkan, ahli perniagaan itu sempat mengarahkan isterinya keluar melalui tingkap dan menyembunyikan diri sebelum pembunuh memasuki bilik mereka.

Anggota Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan, termasuk mengesan suspek yang dipercayai masih berada di negeri ini.

Shafie berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku salah faham atau pertelingkahan membabitkan Tong Hock dengan musuh perniagaan menjadi motif pembunuhan kejam itu.

“Kita masih menyiasat motif dan siasatan dibuat dari pelbagai sudut, termasuk persaingan perniagaan. Satu-satunya saksi ketika ini adalah isteri mangsa dan kita masih menunggu keadaannya stabil bagi meneruskan siasatan,” katanya.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh, manakala gerakan memburu suspek sudah dilancarkan di seluruh negeri.
Read the rest of the entry →